suria

Tarikh PRU-13 Masih Jadi Teka-Teki, Tetapi Bendera Parti Sudah Mula Dinaikkan

PETALING JAYA: Bendera-bendera daripada pelbagai parti politik sudah dinaikkan namun rakyat Malaysia masih tidak dapat meneka bilakah pilihan raya umum akan diadakan.

Ia masih menjadi satu teka-teka tetapi banyak pendapat mengatakan bahawa pilihan raya semakin hampir. Maka, kini bermulalah ‘perang’ bendera-bendera parti.

Parti-parti di kedua-dua pihak (kerajaan dan pembangkang) mengibarkan bendera mereka di semua tempat seluruh negara, di kawasan bandar dan luar bandar termasuk pusat bandar Kuala Lumpur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyemarakkan lagi spekulasi mengenainya dengan memaklumkan sesuatu secara terbuka dalam perhimpunan raksasa Umno di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat lalu.

Beliau berkata kepada 100,000 hadirin bahawa beliau merasakan untuk mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong mengenai pilihan raya dan mahu memastikan sama ada semuanya sudah bersedia sekiranya diadakan pada Jun ini.

Apabila semuanya bersorak tanda setuju, beliau berseloroh dengan berkata: Bagaimana pula jika tahun depan?

Kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat percaya pilihan raya semakin hampir meskipun mereka memperdebatkan tentang pilihan raya sama ada diadakan pada Jun, Julai atau September.

PKR dan PAS pula berpendapat bahawa pilihan raya akan diadakan antara Jun dan awal bulan Ramadan iaitu pada 21 Julai.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pendapat berbeza mengatakan sekiranya beliau masih lagi menjadi perdana menteri, pilihan raya akan diadakan selepas Hari Raya.

Sebahagian besar anggota BN mengatakan pilihan raya akan diadakan dalam tempoh 100 hari lagi.

Ahad lalu, ahli-ahli politik Sabah dan Sarawak menggesa Perdana Menteri dan Pengerusi BN supaya tidak mengadakan pilihan raya pada Jun kerana mereka masih sibuk meraikan perayaan-perayaan tradisi seperti Pesta Kaamatan di Sabah dan Gawai Dayak di Sarawak.

Dan Malaysia sejak dahulu belum pernah lagi mengadakan pilihan raya pada Jun.

Sesetengah pihak menolak sekiranya pilihan raya diadakan pada Jun kerana sesi Parlimen akan bersidang dari 11 sehingga 28 Jun, tetapi Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee berkata, Parlimen boleh dibubarkan meskipun semasa sesi persidangan, sebagaimana yang telah dilakukan untuk pilihan raya umum 1999.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata, Perdana Menteri mempunyai hak untuk memutuskan perkara itu dan menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen pada bila-bila masa sebelum 24 April 2013, berikutan tamatnya tempoh kerajaan.

Naib Presiden PKR, Tian Chua menyifatkan spekulasi berhubung tarikh pilihan raya merupakan sesuatu yang “tidak masuk akal dan memenatkan” dan menambah: “Perdana Menteri akan memberi kenikmatan yang besar kepada semua orang sekiranya beliau mengumumkan tarikh pilihan raya itu sekarang.”

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali percaya pilihan raya tidak akan dibubarkan lagi kerana Perdana Menteri menyedari Pakatan Rakyat tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sekiranya pilihan raya diadakan sekarang.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor berkata, parti-parti komponen perlu bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.

Sementara itu, seorang ahli numerologi India berkata, Jun dan Julai bukan bulan yang baik untuk seseornatg seperti Najib yang menggemari angka 11.

Menurut beliau, April 2013 merupakan waktu terbaik bagi Perdana Menteri untuk mengadakan pilihan raya.

Artikel Lain