suria

Perkahwinan Tidak Berdaftar Penduduk Sempadan Boleh Timbulkan Masalah Kewarganegaraan

TEBEDU: Ketua-ketua masyarakat di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia di sini hendaklah memastikan kesahihan perkahwinan di antara anggota masyarakat mereka dengan penduduk negara jiran, kata Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Datuk Seri Michael Manyin.

Manyin, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Tebedu, berkata langkah ini dapat mengelakkan sebarang masalah seperti taraf kewarganegaraan timbul di masa hadapan.

"Setiap perkahwinan seperti ini perlu didaftarkan demi untuk mengelakkan timbulnya pelbagai masalah seperti kesulitan mendapatkan sijil kelahiran atau kad pengenalan anak-anak mereka yang terlibat," katanya dalam majlis Randau Sosial dan Keselamatan di sini, Jumaat.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak, John David Nyauh.

Kegagalan memperoleh dokumen kerakyatan Malaysia ini akan menyebabkan anak-anak hasil perkahwinan penduduk Malaysia dengan rakyat asing tidak dapat menikmati kemudahan sepertimana rakyat Malaysia lain, kata Manyin. -BERNAMA

Artikel Lain