suria

Jabatan, Agensi Kerajaan Perlu Kaji Lebih Mendalam Sebelum Buat Keputusan - PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata jabatan dan agensi kerajaan perlu melakukan semakan terperinci sebelum mengambil sesuatu keputusan hanya berdasarkan kepada maklumat yang diterima di atas kertas, yang akhirnya mendatangkan natijah negatif.

Perdana Menteri berkata pengalaman dan hasil daripada tinjauan mesra yang disifatkan sangat bermakna, telah mendedahkan beliau kepada keadaan sebenar di sesuatu kawasan dan mendengar sendiri masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Najib bekrata tinjauan mesra di Sandakan, Sabah baru-baru ini telah menyentuh perasaan beliau berikutan nasib yang menimpa seorang warga emas di tempat itu.

"Ketika saya duduk minum teh tarik dengan sekumpulan warga emas, seorang daripadanya yang juga bekas pemandu teksi memberitahu dia kini tidak layak untuk menerima wang bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berikutan JKM mendapati anak-anaknya telah bekerja.

"Rumahnya dibeli dengan wang simpanannya dan telah diberi hak milik kepada anaknya (yang) telah bertindak menghalaunya keluar. Walaupun atas kertas anak-anaknya telah bekerja tetapi mereka telah mengambil tindakan yang saya anggap zalim. Ini bermakna kita perlu ambil tindakan yang lebih mendalam (untuk menentukan) sama ada anak-anak benar-benar membantu ibu bapa," katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sinar Pagi selama satu jam di SINAR fm di sini, Khamis.

Ketika menjawab panggilan pendengar dalam program yang dikendalikan deejay Khairil Rashid, Salih Yaccob dan Raja Azura, Najib berkata beliau yang kini memangku jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata perkara itu telah dikemukakan kepada kementerian dan semakan semula perlu dilakukan.

Perdana Menteri berkata jika benar anak itu tidak membantu dan mengabaikannya, JKM perlu mempertimbangkan semula pemberian wang bantuan kebajikan kepadanya.

Beliau turut menjelaskan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke Bursa Malaysia adalah bagi menjana kekayaan secara lonjakan berganda kepada golongan peneroka.

Jika tidak disenaraikan, kata beliau aset berkenaan tidak akan mempunyai nilai pasaran dan jika tidak ada nilai pasaran, nilai aset itu tidak boleh dilonjak secara berganda.

"Bila disenaraikan, aset kita diberi nilai oleh pasaran secara berlipat ganda, dan daripada kekayaan itu yang kita dapat jana itu, sebahagian daripadanya akan dapat diserahkan kepada peneroka Felda," katanya yang juga menjelaskan penyenaraian itu tidak melibatkan tanah hak milik peneroka.

Artikel Lain