suria

Pendekatan 4K Perkasakan Wanita Luar Bandar

ROMPIN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan pendekatan '4K' dalam usaha memperkasakan lagi agenda pembangunan untuk wanita di luar bandar di negara ini.

Pendekatan 4K itu ialah keilmuan, kemahiran, keusahawanan dan kepimpinan.

Beliau berkata kaum wanita di negara ini sejak dahulu lagi telah diberikan pengiktirafan dan hak yang sama rata.

Najib berkata pendekatan 4K berkenaan dilihat mampu mengangkat martabat wanita luar bandar ke satu tahap yang lebih tinggi lagi.

"Wanita di negara ini jauh lebih baik, tak perlu perjuangkan hak gender (seperti di negara-negara tertentu), sejak dahulu lagi (wanita) telah diberikan pengiktirafan dan hak saksama.

"Ketika ini, sebanyak 68 peratus mahasiswa (yang belajar) di pusat pengajian tinggi adalah wanita, malah jawatan-jawatan berpengaruh seperti Gabenor Bank Negara, Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi dan bekas Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), adalah wanita," katanya ketika berucap semasa merasmikan program Pandu Puteri Turun Padang, di sini, hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga Yang DiPertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia, dan Yang DiPertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia cawangan Pahang Tengku Puan Pahang Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Najib berkata wanita luar bandar perlu meningkatkan keilmuan mereka selaras dengan keadaan semasa termasuk ilmu mendidik anak-anak, mempertingkatkan kemahiran dalam bidang tertentu untuk menjana pendapatan, melibatkan diri dalam bidang keusahawanan dan meningkatkan ciri-ciri kepimpinan bagi memperkasakan lagi pembangunan diri dan keluarga.

Beliau berkata kerajaan sentiasa menyokong apa jua program bagi memperkasakan wanita di negara ini.

Sementara itu, Rosmah ketika berucap berkata aktiviti-aktiviti kemasyarakatan persatuan itu bertujuan mewujudkan sikap prihatin dan semangat sukarelawan, mendidik dan menghasilkan bakal usahawan di kalangan wanita dalam menjana pendapatan sampingan malah meningkatkan lagi ilmu dan kemahiran.

Rosmah berkata bertemakan "Memperkasakan Wanita Desa", program Pandu Puteri Turun Padang itu bertujuan menyediakan peluang kepada wanita-wanita dari kawasan desa dan pedalaman untuk menambah pendapatan tanpa bergantung kepada bantuan semata-mata.

"Dalam hal ini, Pandu Puteri akan memainkan peranan selaku pemudah cara, penghubung dan penggerak kepada usaha membantu wanita desa untuk mendapatkan kemahiran dengan mewujudkan kerjasama melalui pelbagai agensi yang berkaitan," katanya. BERNAMA

Artikel Lain