suria

Bilangan Anggota Sukarelawan Bomba Akan Ditambah - Chor

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mengiatkan usaha meningkatkan bilangan anggota sukarelawan bomba terutama di kawasan pedalaman dan jauh dari balai bomba bagi membolehkan pelaksanaan 'masa respons' 10 minit untuk sebarang bencana, dicapai.

Menterinya, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, sukarelawan bomba akan ditempatkan di lokasi-lokasi yang mempunyai radius 20km hingga 30km dari balai bomba terdekat untuk memberi respons segera kepada kejadian bencana.

"Tidak mungkin kita membina balai bomba di seluruh pelusuk negara dan ini menjadikan bomba tidak dapat bantu mereka (dengan segera) di kawasan pedalaman.

"Disebabkan itulah kita mewujudkan sukarelawan bomba dan akan menambah bilangannya bagi memudahkan kerja-kerja menyelamat dijalankan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Larian Bersama Bomba 2012 sempena sambutan Hari Bomba Sedunia di Dataran Merdeka, di sini Ahad.

Chor berkata, calon yang berminat perlu menjalani kursus dan latihan menyelamat termasuk latihan utama selama dua minggu sebelum diserap menjadi anggota sukarelawan bomba.

Beliau berkata, kerajaan menyediakan peralatan dan kelengkapan kebombaan termasuk kenderaan-kenderaan kecil bagi tujuan menyelamat di setiap pusat sukarelawan bomba.

"Sungguhpun kerajaan menyumbang pelbagai jenis bantuan kepada sukarelawan bomba, namun kami sentiasa memantau perkembangan dan mencari jalan untuk menambah baik fasiliti dan perkhidmatan bomba sukarela," katanya.

Setakat ini, katanya, seramai 15,000 anggota sukarelawan bomba daripada 324 pasukan seluruh negara telah berdaftar dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan jumlah tersebut melebihi bilangan anggota bomba tetap iaitu seramai 13,000 orang.

"Negeri Kedah mempunyai bilangan sukarelawan bomba paling banyak serta paling aktif dan ia merupakan perkembangan yang baik kerana masyarakat kini sudah mula peka tentang pentingnya membantu sesama masyarakat," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain