suria

Perhimpunan Kotor, Penganjur Tak Hormat Undang-Undang Negara - Rais

KUALA LUMPUR: Perhimpunan yang disokong pembangkang di ibu kota pada Sabtu boleh dikatakan sebagai Kotor 3.0 kerana penganjur dan peserta perhimpunan itu jelas tidak menghormati undang-undang negara.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata ini berlaku lantaran ketiadaan penghormatan kepada nilai-nilai positif dan murni selain tidak mengendahkan tentang pemuafakatan.

"Kalau kita lihat mereka tidak memberi penghormatan kepada undang-undang yang mereka sendiri sokong di Dewan Negara dan Dewan Rakyat, tidak menghormati keputusan mahkamah.

"Apa yang kita nak sangkutkan (berharap) kepada pemimpin-pemimpin seperti ini yang membawa negara kepada politik jalanan, membawa susah-payah kepada orang ramai, kepada percanggahan nilai amalan dan tidak menghormati prinsip-prinsip keagamaan?" katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-45 Badan Kebajikan dan Kemajuan Anak-Anak Melayu Negeri Sembilan Darul Khusus di Kuala Lumpur (Badan).

Sehubungan itu, Rais berkata para guru dan pensyarah harus menggembleng tenaga bagi membimbing generasi pada masa kini agar terselamat daripada budaya songsang yang dibawakan oleh sesetengah pihak.

Sementara itu, Rais berkata adat dan budaya masyarakat lama harus dihidupkan semula menerusi kegiatan generasi muda agar ia tidak tenggelam oleh arus kemodenan.

"Kita pilih beberapa aspek tamadun yang berguna dan kita hidupkan semula seperti adat perpatih, adat temenggung dan juga amalan menerusi kata-kata hikmat, peribahasa dan sebagainya yang boleh kita jadikan amalan kehidupan seharian," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain