suria

Penganggur Didakwa Rompak Juruwang Kedai Serbaneka

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat terhadap pertuduhan merompak seorang juruwang kedai serbaneka dengan menggunakan sebilah pisau, minggu lepas.

A.Jayaseelen, 19, didakwa bersama rakan yang masih bebas dengan niat bersama merompak wang tunai RM246.90 dan sekotak rokok bernilai RM10 menggunakan pisau ke atas Erma Saide, 26, di Seven Eleven, Jalan Hang Kasturi di sini pada 12.34 tengah malam, 12 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norasyikin Ahmad menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin tetapi peguam yang mewakili tertuduh, A.Sheelan memohon jaminan dikurangkan kerana tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak yang masih kecil.

Hakim Mahmud Abdullah membenarkan Jayaseelen diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Mei untuk sebutan semula kes. Di mahkamah berasingan, seorang eksekutif pemasaran 'gores dan menang' mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan merompak seorang buruh menggunakan batu dan pen.

Ng Chun Xian, 23, didakwa bersama enam orang lagi yang masih bebas dengan niat bersama merompak wang tunai RM20 dan surat kelahiran milik seorang lelaki bernama Rahim, 24, di Jejantas Times Square Jalan Imbi ke Sungei Wang Plaza di sini pada 11.40 pagi, 11 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh membenarkan Ng diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Mei untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Aishah KM Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam A.Nadarajan. -BERNAMA

Artikel Lain