suria

Pemuda MCA Serah Senarai Calon

KUALA LUMPUR: Pemuda MCA telah menyerahkan senarai calonnya untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13 kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, kata Ketuanya Datuk Dr Wee Ka Siong.

"Segala keputusan mengenai calon bagi kerusi tertentu bergantung sepenuhnya kepada keputusan presiden parti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat Pemuda MCA, di sini, Jumaat.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai jumlah muka baru dalam senarai tersebut.

Mengulas isu berbeza, Wee yang juga Timbalan Menteri Pelajaran menyambut baik pengumuman pemberian bantuan kewangan kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam yang diumum Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

"Pemberian Bursary itu bagi mengiktiraf pelajar cemerlang SPM yang mendapat keputusan 9A+ ke atas tanpa mengira etnik, kaum, keturunan dan latar belakang merupakan langkah terbaik untuk selesaikan masalah kebanyakan pelajar cemerlang yang tidak mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran.

"Ini dilihat cadangan yang diutarakan oleh kami kepada pihak kerajaan telah disambut baik dan diharapkan semua pelajar cemerlang tidak lagi menghadapi masalah dan membuat pelbagai aduan mengenai kegagalan mendapat biasiswa," katanya. BERNAMA

Artikel Lain