suria

Perdana Menteri Britain Lawat Malaysia Esok

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Britain David Cameron akan melakukan lawatan rasmi ke Malaysia bermula Khamis hingga 13 April.

Kementerian Luar dalam kenyataan di sini, pada Rabu berkata lawatan atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu dijangka akan meningkatkan momentum dan mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Britain.

"Lawatan ini dijangka akan menarik lebih banyak pelaburan British dan meningkatkan imej Malaysia sebagai destinasi pelaburan di rantau ini," kata kenyataan itu.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama Cameron ke Malaysia sejak mengambil alih jawatan perdana menteri pada Mei 2010.

Pada lawatan itu, Cameron akan diraikan dalam satu majlis istiadat sambutan rasmi dan dijadual memberi ucapan di Forum Perdagangan dan Pelaburan Malaysia-Britain.

Pada tahun 2011, Britain merupakan rakan dagangan terbesar keempat bagi Malaysia di kalangan negara-negara Kesatuan Eropah (EU) dengan jumlah dagangan bernilai RM13.03 bilion (US$4.23 bilion) manakala Malaysia adalah rakan dagangan kedua terbesar Britain di Asean.

Bagi bidang pelaburan dalam sektor pembuatan, jumlah pelaburan firma dari Britain adalah RM19.17 bilion (US$6.23 bilion) bagi projek yang telah dilaksanakan dan diluluskan.

Kenyataan itu berkata kedua-dua Perdana Menteri akan mengadakan mesyuarat dua hala bagi membincangkan kerjasama dalam pelbagai bidang kepentingan bersama selain bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa.

"Mesyuarat dua hala ini merupakan platform bagi kedua-dua pemimpin untuk memperkukuhkan kerjasama sedia ada dan mencari peluang baru meningkatkan hubungan dua hala terutama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan, sains dan teknologi serta pendidikan tinggi," kata kenyataan itu.

Kedua-dua pemimpin itu juga akan menghadiri program Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) di Universiti Nottingham, Kampus Malaysia di Semenyih.

Perdana Menteri Cameron turut diiringi Timbalan Menteri Perdagangan dan Pelaburan Britain Lord Stephen Green dan Timbalan Menteri Universiti dan Sains Britain David Willets bersama delegasi seramai 83 anggota terdiri daripada pegawai kerajaan, pemimpin perniagaan dan media Britain.

Lawatan terakhir Perdana Menteri Britain adalah oleh Sir John Major kira-kira 19 tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Lain