suria

SUPP Cadang Yuran Peperiksaan Calon Sekolah Persendirian Cina Dimansuhkan

MIRI: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mencadangkan supaya pelajar sekolah persendirian Cina dikecualikan yuran peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Presidennya Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata pelajar sekolah persendirian dan swasta dikenakan bayaran RM65 untuk PMR dan lebih RM100 untuk SPM bergantung kepada jumlah subjek diambil manakala pelajar sekolah bantuan penuh kerajaan dikecualikan daripada bayaran itu.

"Kementerian Pelajaran harus mempertimbangkan perkara ini secara serius," katanya kepada pemberita selepas sesi bertemu rakyat di sini hari ini. Chin, yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, berkata beliau akan bincang dengan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kewangan mengenai cadangan pengecualian itu.

Terdahulu, pada sesi itu, seorang wakil sekolah persendirian, Sekolah Menengah Jalan Riam, melahirkan rasa kekecewaannya kepada Chin terhadap yuran peperiksaan itu yang dianggap tidak adil.

Dalam perkembangan lain, Chin, yang juga Ahli Parlimen Miri, berkata kajian terhadap cadangan Projek Loji Rawatan Serantau bagi Miri telah siap bagi memastikan sistem pembetungan yang sistematik dan bersih di bandar itu.

Katanya cadangan itu diharap dapat dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia akan datang. -BERNAMA

Artikel Lain