Polis Tahan Wanita Bantu Siasatan Kes Tembak Peniaga Pasar Malam - Semasa | mStar

Polis Tahan Wanita Bantu Siasatan Kes Tembak Peniaga Pasar Malam

KOTA BAHARU: Polis menahan seorang wanita yang dipercayai boleh membantu siasatan berhubung kes tembak seorang peniaga pasar malam di persimpangan lampu isyarat berhampiran pintu masuk Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata wanita berusia 36 tahun itu ditahan di rumahnya di Kampung Binjai, dekat sini, pukul 4.30 petang Jumaat.

"Dengan penahanan wanita tersebut, pihak kami percaya dapat menyelesaikan kes tersebut," katanya kepada pemberita selepas melepaskan Konvoi 220 buah motosikal berkuasa tinggi sempena Hari Polis ke-205 di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, pagi tadi.

Konvoi motosikal berkuasa tinggi itu merupakan aktiviti pasukan polis dalam usaha membanteras jenayah terutama golongan muda sebagai sasaran utama program 'Jom Cegah Jenayah'.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, ACP Loi Yong Heng serta Ketua Jabatan Keselamatan dan Ketenteraman Awam IPK Kelantan, Supt Azli Mohd Noor.

Penjelajahan bermula dari perkarangan IPK sejauh 60 kilometer itu akan tamat di Pantai Tujuh, Tumpat di mana mereka menyertai program interaksi bersama masyarakat, khasnya anak-anak muda.

Mengulas lanjut mengenai kejadian tembak itu, Mazlan berkata polis telah mengenal pasti identiti suspek kes berkenaan dan akan menahan dalam masa terdekat ini.

Dalam kejadian pukul 1.45 petang semalam, Hassan Mat Ali, 40, ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki yang menunggang motosikal, dan mangsa yang kini masih dirawat di HUSM dilaporkan dalam keadaan stabil.

Katanya peniaga tersebut dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Binjai di sini, selepas berniaga di pasar sehari Kota Jembal dekat sini. Bagaimanapun, adik mangsa, Norsiah, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan tidak terkena tembakan.

Mazlan menasihatkan orang ramai di negeri ini agar tidak panik dengan kes itu yang disifatkan sebagai kes terpencil dan kes itu tiada kaitan dengan kes melibatkan tembakan sebelum ini.

Mazlan berkata sejak awal tahun ini, terdapat enam kes tembakan dan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, iaitu cubaan bunuh.-BERNAMA

Artikel Berikut

Polis Tembak Mati Tiga Penjenayah

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

Artikel Lain