suria

Kelantan Perlukan Kawasan Perindustrian Baru : Mustapa

TUMPAT: Kelantan memerlukan kawasan perindustrian baru yang lebih luas sebagai daya tarikan kepada syarikat besar melabur di negeri ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata kawasan baru tersebut perlu dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan bekalan air yang sentiasa terjamin.

"Kelantan juga perlu dibina pelabuhan dan lapangan terbang yang lebih besar bertaraf antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Wakaf Baharu dekat sini, hari ini.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata kawasan perindustrian di Pengkalan Chepa di Kota Baharu, sudah penuh dengan kira-kira 150 syarikat yang kebanyakannya adalah syarikat kecil.

Beliau berkata bagi mewujudkan kawasan perindustrian baru, kerajaan negeri perlu mempunyai perancangan jangka pendek dan panjang serta insentif yang boleh ditawarkan sebagai tarikan kepada pelabur untuk melabur di negeri ini.

Katanya kegagalan kerajaan negeri pimpinan PAS yang memerintah Kelantan sejak 1990 dalam menyediakan kawasan perindustrian baru, infrasruktur yang terbaik dan insentif menarik, menyebabkan pelabur besar beralih minat untuk melabur di negeri lain yang lebih menguntungkan mereka.

Beliau berkata kekurangan kilang yang menyediakan peluang pekerjaan berskala besar menyebabkan ramai terutama golongan muda berhijrah ke negeri lain untuk mencari pekerjaan.

"Inilah pentingnya sesebuah kerajaan negeri yang selari dengan kerajaan pusat supaya sebarang bentuk kerjasama dapat dilakukan dengan mudah tetapi oleh kerana kerajaan negeri pimpinan PAS tidak selari dengan kerajaan pusat di bawah Barisan Nasional maka susah kerjasama hendak dilaksanakan," katanya.

Mengenai projek pembinaan jambatan kedua Jambatan Sultan Yahya Petra yang menghubungkan antara Kota Baharu dan Pasir Pekan di sini, Mustapa yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Kelantan, berkata laluan dari Pasir Pekan ke Kota Baharu dijangka siap pada Ogos ini manakala laluan Kota Baharu ke Pasir Pekan dijangka siap awal tahun depan.

Beliau berkata apabila projek yang melibatkan kos RM157 juta itu siap sepenuhnya, ia dipercayai dapat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di jambatan sepanjang 800 meter yang merentasi Sungai Kelantan itu terutama pada musim perayaan.-BERNAMA

Artikel Lain