suria

Umat Islam Perlu Berjihad Tingkatkan Ekonomi - Titah Raja Nazrin

KANGAR: Umat Islam perlu melakukan transformasi positif dan berjihad ke arah meningkatkan taraf sosio ekonomi yang sejajar dengan tuntutan agama, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Menurut baginda dalam menghadapi persaingan ekonomi semasa, mereka perlu berjihad dalam perniagaan di samping mewujudkan 'wakaf korporat' sebagai institusi yang boleh membantu perkembangan ekonomi Islam.

Bertitah merasmikan seminar 'Jihad Bisnes dan Wakaf Korporat' di Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis malam tadi, baginda yakin ekonomi umat Islam akan terus berkembang jika mereka turut menyertai transformasi itu.

Seminar itu dianjurkan bersama oleh Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM).

Timbalan Presiden DPIM Tan Sri Muhamad Ali Hashim membentang kertas kerja bertajuk 'Jihad Bisnes dan Wakaf Korporat Pemangkin Ekonomi Ummah' pada majlis yang dihadiri umat Islam seluruh Perlis itu. Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah umat Islam ketika ini sedang menghadapi cabaran hebat dalam sektor ekonomi yang menampakkan mereka ketinggalan.

"Bagi membangunkan semula ekonomi umat Islam, satu pendekatan alternatif yang lebih kreatif dan efektif perlu dilakukan dan menjadikan kegiatan perniagaan sebagai satu jihad dan tidak hanya melihat sebagai tuntutan duniawi," titah baginda.

Baginda juga yakin cadangan mewujudkan wakaf korporat sebagaimana yang dibangkitkan oleh DPIM pada Kongres Majlis Agama Islam Seluruh Malaysia pada September tahun lalu merupakan langkah yang boleh membantu menjana perkembangan ekonomi umat Islam.

Titah baginda ketika kegemilangan empayar Islam, amalan berwaqaf merupakan antara elemen terpenting dalam pentadbiran negara dan menjadi pemangkin terhadap pembangunan dan penyediaan infrastruktur negara. "Malang sekali pada hari ini, kekuatan institusi waqaf ini agak disempitkan, hanya menyediakan keperluan ibadah khusus seperti tapak masjid dan surau serta tanah perkuburan sahaja," titah baginda.

Baginda bertitah institusi waqaf sepatutnya bukan hanya sekadar mengumpul dana, tetapi ditambah nilai supaya harta waqaf terus berkembang dan mampu memberi manfaat yang lebih besar kepada umat Islam dan manusia seluruhnya. -BERNAMA

Artikel Lain