suria

Bekas Pengarah JPJ Kedah Diperintah Bela Diri Terima Suapan RM1,000

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Zulkifli Othman diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini untuk membela diri terhadap pertuduhan menerima suapan RM1,000 daripada seorang pemilik akademi memandu, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Ghazali Cha bagaimanapun mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen sebelum ini yang melepaskan dan membebaskan Zulkifli daripada pertuduhan menerima suapan berbentuk penginapan di Hotel Concorde, di sini bernilai RM204.70, daripada pemilik akademi itu Lim Kok Han.

Ghazali berkata pendakwa raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membuktikan satu kes prima facie di mana tertuduh ada menerima "duit perangkap" RM1,000 daripada Lim sepertimana pertuduhan.

Zulkifli, 52, didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kelab De Macau, Lower Ground Floor, Hotel Renaissance, di sini kira-kira pukul 1.30 pagi, pada 4 Ogos 2007.

Zulkifli pada awalnya didakwa dengan empat pertuduhan rasuah tetapi dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen daripada semua pertuduhan di akhir kes pendakwaan.

Tertuduh diwakili peguam Datuk C V Prabakaran dan Gurucharan Singh Sohan, sementara SPRM diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah. - BERNAMA

Artikel Lain