suria

Program 6P: 6,101 PATI dan 166 Majikan Ditangkap Sejak Oktober

PUTRAJAYA: Bagi tempoh 20 Oktober lepas sehingga kini, seramai 6,101 pendatang tanpa izin (Pati) dan 166 majikan telah ditangkap dan dikenakan tindakan melalui operasi penguatkuasaan Program 6P di seluruh negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam berkata daripada jumlah itu, 33 majikan dan 986 Pati telah didakwa di mahkamah, 72 majikan dan 548 Pati dikenakan kompaun, manakala 1,011 Pati telah diusir keluar.

"Kes bagi 12 majikan dan 1,747 Pati masih dalam siasatan, manakala baki 49 majikan dan 1,809 Pati telah dibebaskan berikutan tiada kes," katanya dalam kenyataan, Jumaat.

Mahmood berkata menerusi 2,607 operasi yang dijalankan itu, seramai 48,864 Pati telah diperiksa.

Pada masa yang sama, seramai 455 warga Afrika telah ditahan di bawah penguatkuasaan Program 6P dengan Nigeria mencatatkan jumlah tertinggi 426 orang, diikuti Uganda (13), Sudan (4), Botswana dan Zimbabwe masing-masing tiga, Zambia (2) dan masing-masing satu bagi D'Ivory Coast, Eritheria, Cameroon dan Algeria.

Mahmood berkata sebanyak 523 operasi penguatkuasaan dijalankan di Perak, Terengganu (515), Negeri Sembilan (232), Pulau Pinang (171), Melaka (168), Johor (167), Sabah dan Selangor masing-masing 123, Kelantan (105), Kedah (99), Pahang (92), Putrajaya (88), Kuala Lumpur (71), Perlis (69), Labuan (29)dan Sarawak (32). - BERNAMA

Artikel Lain