suria

Lelaki Vietnam Ditemui Mati Akibat Ditetak

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Vietnam ditemui mati dengan kesan tetakan pada seluruh badan di Jalan Seroja, Kampung Sungai Kayu Ara, Damansara, dekat sini malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata mayat lelaki berumur 20-an dan bekerja di kilang berdekatan itu ditemui orang ramai di sebuah lorong di belakan rumah kedai kira-kira 10.20 malam.

"Semasa polis tiba, lelaki itu berlumuran darah di seluruh badannya. Kita percaya dia ditetak dalam satu pergaduhan oleh suspek yang lebih dari seorang," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Arjunaidi berkata polis tidak menemui sebarang senjata di tempat kejadian danu menolak kes itu bermotifkan samun kerana tiada barang berharga milik mangsa yang hilang.

Beliau berkata mayat mangsa yang menghuni di sebuah rumah kedai berdekatan bersama isteri dan rakannya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -BERNAMA

Artikel Lain