suria

KDN Nafi Keluarkan Surat Kelulusan Khas Proses Pemutihan Pati

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Rabu menasihatkan majikan yang menggaji pekerja asing tanpa izin agar tidak terpedaya dengan surat kelulusan khas bagi proses pemutihan Program 6P yang diguna pihak tertentu untuk mengutip wang.

Ketua Setiausaha kementerian Tan Sri Mahmood Adam berkata KDN menerima laporan mengenai kewujudan surat tersebut yang kononnya ditandatangani Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Perkara itu dijadikan modal pihak tertentu di Cameron Highlands untuk mengutip wang daripada majikan, khususnya pemilik ladang teh dan pekebun sayur, katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

"Kelulusan bagi proses pemutihan hanya boleh dikeluarkan agensi kawal selia selepas selesai semua prosedur ditetapkan di sembilan pusat setempat yang kini beroperasi meneruskan proses pemutihan secara pentadbiran sehingga 10 April ini," katanya.

Beliau juga menegaskan sebarang surat sokongan tidak terpakai dan setiap majikan harus melalui prosedur yang ditetapkan di pusat setempat.

Selain itu, Mahmood berkata KDN sedang memantau kegiatan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Muslim Malaysia (DPPMM) yang dikesan mengiklankan skim Rakan Pusat Program 6P di sebuah akhbar tempatan yang menjanjikan komisen berganda serta keuntungan tanpa had untuk mendaftarkan pendatang tanpa izin di seluruh negara.

KDN menafikan sebarang perkaitan skim itu dengan Program 6P kerajaan dan akan memantau jika ada usaha memanipulasi fakta yang boleh mengelirukan orang ramai.

"Ini berikutan kandungan iklan yang memaklumkan skim itu untuk menyelesaikan masalah pendaftaran pendatang tanpa izin sedangkan fasa pendaftaran Program 6P kerajaan tamat pada 31 Ogos 2011," katanya.

Mahmood berkata KDN juga memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak mengambil kesempatan terhadap majikan yang kini terdesak menguruskan pemutihan pekerja asing tanpa izin mereka menjelang tarikh akhir pada 10 April ini. - BERNAMA

Artikel Lain