suria

Kajian Pembangunan Punyai Potensi Kerjaya Besar

KUALA LUMPUR: Kajian Pembangunan, yang merupakan program pelbagai disiplin, mempunyai potensi kerjaya yang besar dalam negara membangun seperti Malaysia dan lain-lain, kata felo penyelidik kanan Jabatan Kajian Pembangunan, Universiti Malaya, Dr Marie Aimee Tourres.

"Negara itu akan memperoleh manfaat daripada pakar pembangunan ekonomi dalam banyak bidang di peringkat nasional dan antarabangsa," katanya.

Tambahan pula, Malaysia sering dipandang tinggi oleh kebanyakan negara membangun, yang memberi lebih nilai untuk pelajar yang mengambil kursus itu, katanya kepada Bernama dalam temubual di sini.

Universiti Malaya (UM) memperkenalkan kursus itu sebagai sebahagian daripada program Sarjana mereka di bawah Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran sejak tahun 2010.

Program itu bertujuan untuk menghasilkan profesional pembangunan yang berpengetahuan dan berkelayakan serta mempunyai etika dan tanggungjawab sosial.

Penuntut dilatih dengan kemahiran untuk menangani isu pembangunan dan cabaran daripada perspektif global.

Pada masa ini terdapat sejumlah penuntut tempatan dan asing mengambil kursus itu.

Antara tajuk dalam kajian itu ialah pembasmian kemiskinan, penghijrahan desa ke bandar, penjagaan kesihatan, alam sekitar, pendidikan, peranan Industri Kecil dan Sederhanan dalam pembangunan, pembangunan manusia, peraturan kerajaan, gender dan bantuan antarabangsa dalam isu yang sama.

Dr Marie berkata, mereka yang berminat untuk menjadi pakar berkaitan pembangunan dalam organisasi sektor swasta dan awam dalam atau luar negara boleh mengambil kursus itu.

"Penuntut yang mengambil pengkhususan itu biasanya ingin bekerja untuk tempat yang mempunyai pendedahan antarabangsa atau terbabit secara langsung dalam pembangunan," katanya.

Kursus seumpama itu juga akan membantu penuntut dalam bidang lain seperti kewartawanan untuk mempunyai pengetahuan mendalam mengenai isu berkaitan negara membangun. - BERNAMA

Artikel Berikut

103 GRO Ditahan

Artikel Lain