suria

Selangor Sambut Baik Usaha Isytihar Harta Anggota Kabinet Kepada SPRM

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor menyambut baik usaha kerajaan pusat membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai akses penuh kepada dokumen-dokumen pengisytiharan harta mana-mana anggota pentadbiran.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tindakan tersebut merupakan satu langkah yang baik dalam memastikan ketelusan pihak kerajaan.

"Ini satu langkah yang bagus. Jangan pula kita berprasangka dengan mereka (kerajaan pusat).

"Dalam hal ini ia adalah satu idea yang baik dan kita menyokongnya kerana kita perlu kerajaan mengamalkan ketelusan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Rabu.

Bagaimanapun Abdul Khalid berkata, adalah lebih baik sekiranya kerajaan pusat mengambil tindakan memansuhkan Akta Rahsia Rasmi (OSA) bagi memastikan kerajaan benar-benar telus agar pengisythiran harta di kalangan menteri kabinet serta ahli keluarga mereka diketahui oleh rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa merasmikan Program Pegawai Integriti Bertauliah pada Isnin lalu mengumumkan kerajaan bersetuju dengan cadangan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah supaya Ketua Pesuruhjaya SPRM mempunyai akses penuh kepada dokumen-dokumen pengisytiharan harta mana-mana anggota pentadbiran.

Pada 12 Disember tahun lalu, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah mencadangkan salinan fail pengisytiharan harta anggota pentadbiran Persekutuan termasuk anggota Kabinet, disimpan SPRM.

Pengisytiharan harta itu meliputi anggota keluarga terdekat iaitu isteri, suami dan anak, serta perlu dibuat secara akuan berkanun untuk memudahkan tindakan diambil jika berlaku penipuan dalam pengisytiharan.

Artikel Lain