suria

Sebarang Rundingan Selesai Kemelut Exco Kedah Mestilah Dengan Syarat Yang Sah - MB

ALOR SETAR: Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, sebarang rundingan untuk menyelesaikan kemelut berhubung kedudukan dua anggota Exco Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Dr Ismail Salleh, yang menolak dilantik semula ke jawatan mereka secara bersyarat, mestilah dengan syarat yang sah.

"Saya bersikap terbuka bagi menyelesaikan kemelut ini... tiada masalah tidak boleh diselesaikan. Nak runding dengan sesiapapun, bila-bilapun boleh.

"Jika diletakkan syarat untuk bincang, mesti syarat yang sah. Syarat tidak sah, tidak boleh pakai," tegasnya.

Bagaimanapun beliau tidak memberi jawapan jelas terhadap pertanyaan wartawan mengenai Phahrolrazi yang meletak syarat untuk berunding dan menerima kembali jawatannya.

"Saya tidak tahu... nak bincang apa. Dia tak jumpa sayapun. Apa syarat dia letakpun saya tak tau.

"Saya juga tak tau apa perbezaan pendapat yang dia (Phahrolrazi) kata kerana dia tidak pernah cakap," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Aman, Rabu.

Kepada soalan lain, Azizan berkata lapan Exco yang dilantik lebih daripada cukup untuk mentadbir negeri Kedah.

Phahrolrazi, yang merupakan Exco paling kanan dan Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah, meletak syarat untuk berunding dengan Azizan dan menerima kembali jawatannya, tetapi tidak menyatakan syaratnya.

Dr Ismail, yang juga Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kedah, mengikut jejak Phahrolrazi untuk tidak dilantik semula kerana mendakwa tidak tahan dengan sikap Azizan yang enggan menerima pendapat mereka.

Mereka tidak hadir mengangkat sumpah jawatan Exco di Istana Anak Bukit semalam. Lapan anggota Exco lain menerima pelantikan semula hadir pada majlis itu.

Azizan turut ditanya sama ada nama kedua-dua exco itu dikemukakan untuk perkenan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang juga Yang di-Pertuan Agong.

"Saya tidak ingat," katanya.

Mengenai pertemuan dengan Naib Presiden PAS Sallahuddin Ayob malam tadi, Azizan berkata perbincangan mereka tidak menyentuh kemelut beliau dengan Phahrolrazi dan Dr Ismail. - BERNAMA

Artikel Lain