suria

MAS Muktamadkan Pelan Tambah Rizab, Kapasiti Pembiayaan

PETALING JAYA: Malaysia Airlines (MAS) sedang memuktamadkan pelan untuk mengukuhkan lembaran imbangannya bagi menambah rizab tunai dan keupayaan pembiayaan.

Syarikat penerbangan negara itu akan mengumumkan pelan itu dalam tempoh 80 hari, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mohammed Rashdan Yusof pada sidang media di sini, Rabu.

Beliau berkata rancangan itu meliputi hutang dan opsyen pasaran ekuiti selain semakan aset serta pelupusan aset bukan teras.

Khazanah Nasional dan Tune Air, dua pemegang saham terbesar MAS, menyokong inisiatif berkenaan.

Menerusi pelan pembiayaan sedia ada, kumpulan itu akan meningkatkan pelaksanaan inisiatif yang digariskan dalam pelan perniagaan yang diumumkan pada Disember 2011.

Mengenai unjuran 2012, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ahmad Jauhari Yahya pula berkata MAS yakin terhadap prospek operasi jarak sederhana dan dekat, terutama laluan domestik dan serantau yang penting.

MAS akan melancarkan semula operasi jarak dekat pada Jun, katanya.

Unjuran bagi operasi jarak jauh bagaimanapun terus mencabar, terutama berikutan peningkatan kos bahan api yang tinggi, katanya.

"Unjuran purata kami bagi harga bahan api tahun ini ialah US$135 setong. Hari ini, US$138," katanya.

Ahmad Jauhari berkata syarikat penerbangan itu mencergaskan semula kumpulan dan akan memberi tumpuan semula untuk menjadi syarikat penerbangan perkhidmatan penuh premium.

"Menerusi 23 pesawat baharu yang akan diterima tahun ini, kami memulangkan semula 34 pesawat dan menghentikan operasi kesemua 747 tahun ini. Menjelang akhir tahun, usia purata pesawat kami dikurangkan kepada 7.7 tahun iaitu barisan pesawat termuda di rantau ini," katanya.

Mengenai pelan unit Kejuruteraan MAS, Ahmad Jauhari berkata kumpulan itu sedang mengkaji kemungkinan menjalin usaha sama strategik dengan rakan yang sedang dikenal pasti, termasuk dalam komponen baik pulih dan rombak rawat.

"Pelan perniagaan kami pada asasnya ialah pemulihan. Jika kami mematuhi pelan itu, kami boleh merealisasikannya," kata Ahmad Jauhari. BERNAMA

Artikel Lain