suria

Rondaan 1Malaysia Di 80 Lagi Kawasan Dilancarkan Mulai 1 Mac

PUTRAJAYA: Operasi Rondaan 1Malaysia yang akan diperluaskan ke 80 lagi kawasan bagi mengurangkan kadar peratusan jenayah di seluruh negara akan dilancarkan secara berperingkat mulai 1 Mac depan.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Tan Sri Mahmood Adam berkata pihaknya sedang mengenal pasti kawasan-kawasan itu yang kebanyakannya bukan di lokasi kawasan 'panas'.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Briged Rela KDN di sini, Selasa, Mahmood berkata operasi itu disertai anggota penguatkuasa kementerian, agensi-agensi di bawahnya serta anggota sukarelawan.

Menurutnya ketika ini Rondaan 1Malaysia sedang dijalankan di 10 tempat rondaan di luar kawasan 'panas' antaranya di Sungai Pelek, Semenyih, Damansara, Pagoh dan Alor Gajah.

Mahmood berkata KDN juga akan meneruskan usaha menyahut seruan kerajaan bagi mencapai 100,000 penyertaan daripada warga kementerian serta agensi-agensi di bawahnya dan sukarelawan untuk menyertai rondaan bersama di seluruh negara.

"Sehingga kini kita telah menerima kira-kira 60,000 penyertaan," kata beliau.

Mengulas mengenai Briged Rela KDN yang dilancarkan Selasa, Mahmood berkata ia bertujuan untuk menjana transformasi kepada pegawai dan kakitangan kementerian supaya lebih memahami peranan Rela serta membuktikan KDN komited dalam melonjakkan gelombang kesukarelawan.

Seramai 511 warga kementerian daripada pelbagai peringkat jawatan menyertai briged itu. - BERNAMA

Artikel Lain