suria

Muhyiddin Janji Sokong Usaha Naik Taraf Lebuhraya Pan Borneo

MIRI: Tan Sri Muhyiddin Yassin berjanji akan menyokong usaha menaik taraf Lebuhraya Pan Borneo yang merupakan jalan persekutuan yang terpanjang di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata Anggota Parlimen Miri yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui perlu membangkitkan perkara tersebut dalam mesyuarat Kabinet akan datang.

"Anda (Chin) boleh membangkitkan tentang perkara ini dalam mesyuarat Kabinet aka datang dan saya akan menyokong anda," katanya pada majlis makan malam 1Malaysia di sini.

Beliau berkata cadangan untuk menaik taraf lebuh raya tersebut mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk dilaksanakan, tetapi keraajaan persekutuan sanggup memperuntukkan dana untuk memperbaiki keadaan lebuh raya itu secara berperingkat-peringkat.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut berjanji untuk mengkaji permintaan membina lebih banyak sekolah rendah dan menengah di Miri.

Terdahulu Chin mencadangkan agar lebuh raya sepanjang lebih 1,800 kilometer itu dinaik taraf di 95 laluan yang dikenal pasti oleh Jabatan Kerja Raya Sarawak sebagai "laluan pembunuh".

Beliau berkata mungkin agar sukar bagi kerajaan persekutuan memperuntukkan sejumlah RM10 bilion untuk menaik taraf keseluruhan laluan lebuh raya itu dari Semantan hingga Lawas sebagai laluan kembar, tetapi ia boleh mempertimbang untuk melebar 95 laluan dengan membina laluan untuk memotong.

"Ia akan menelan kos RM400 juta tetapi pelaksanaannya boleh dibuat secara berperingkat dengan RM400 juta diperuntukkan setiap tahun atau dalam tempoh Rancangan Malaysia sekarang," katanya.

Chin berkata berdasarkan pengalamannya memandu balik dari Bintulu ke Miri semalam, keadaaan jalan sangat memerlukan penambahbaikan.

Keadaan jalan yang buruk menyebabkan beliau sakit belakang, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain