suria

Tiga Kumpulan Penjenayah Di Kajang Tumpas

KAJANG: Polis menumpaskan tiga kumpulan penjenayah terdiri Geng 6 Jari, Geng Sathia Alza dan Geng Bumper yang dipercayai aktif dalam kegiatan samun dan pecah rumah di sekitar Kajang dan beberapa daerah lain sejak awal tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Abdul Rashid Abdul Wahab berkata dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Semenyeh, Sentral 1 di sini pada 3 pagi 13 Februari lepas, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan anggota Geng 6 Jari yang disyaki terlibat dalam 13 kes jenayah sebelum ini dan dipercayai pakar dalam memecahkan mangga rumah.

Mereka yang ditahan berumur antara 31 dan 36 tahun dan direman sehingga 28 Februari ini, katanya kepada pemberita hari ini.

Pada 9 Februari lepas pula, polis memberkas 10 lelaki tempatan dipercayai anggota Geng Sathia Alza di Teluk Panglima Garang, Dengkil, Banting dan Kampung Baru Subang.

Abdul Rashid berkata anggota Geng Sathia Alza itu yang termasuk remaja berusia 17 tahun, disyaki terlibat dalam kes samun dalam rumah dan mencuri kenderaan.

"Hasil siasatan didapati mereka terlibat dalam 10 kes. Mereka ditahan reman sehingga esok," katanya.

Polis Kajang juga menahan dua lelaki anggota Geng Bumper pada 14 Februari lepas di Bandar Teknologi Kajang.

Abdul Rashid berkata kumpulan itu dipercayai aktif dalam kegiatan menyamun dan melarikan kereta mangsa dengan menyasarkan kereta jenis Toyota Vios.

"Mereka juga telah mencederakan beberapa mangsa ketika menyamun mereka selepas melanggar kereta mangsa," katanya.

Geng Bumper dipercayai terlibat dalam sembilan kes samun kenderaan.

Kedua-dua lelaki itu direman juga sehingga esok. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain