suria

Isu Palestin: PAS Sedia Kerjasama Dengan BN

SHAH ALAM: Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad berkata parti itu sedia bekerjasama dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membela nasib rakyat Palestin.

Bagaimanapun, Khalid berkata kerajaan BN mestilah benar-benar ikhlas membela nasib rakyat Palestin dan bukannya menggunakan isu tersebut untuk meraih undi rakyat negara ini.

"Kita tiada masalah untuk bekerjasama (kerajaan BN) untuk membela rakyat Palestin. Tapi kita tidak mahu tindakan itu hanya untuk meraih sokongan politik daripada rakyat. Cakap lain..buat lain," katanya ketika sidang media di pejabatnya pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada PAS sedia bekerjasama dengan BN, memandangkan kedua-dua parti itu masih mempunyai pendirian yang sama dalam isu Palestin-Israel.

Khalid turut mengulangi pendirian bahawa PAS tidak akan mengiktiraf Israel.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata selagi Israel tidak mengiktiraf Palestin maka perbezaan yang wujud kini hanya bersifat 'akademik'.

"Pada ketika ini selagi mana Israel tidak iktiraf Palestin maka perbezaan pendapat yang wujud hanya akademik. Bila Israel iktiraf baru jadi perselisihan dalam alam realiti. Sekarang hanya alam intelektual," katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Che Rosli Che Mat berkata, sekiranya niat tersebut adalah ikhlas, maka parti itu akan bekerjasama dengan kerajaan BN.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain