suria

Polis Terengganu Buru Empat Penyamun Bersenjata

SETIU: Polis Terengganu masih menyiasat identiti sekumpulan penyamun bersenjata yang menyebabkan seorang peniaga kerugian kira-kira RM80,000 di sebuah rumah kedai di Kampung Gemuruh, Tepoh, Kuala Terengganu Isnin lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa berkat pihaknya telah memperolehi beberapa petunjuk awal berhubung penyamun itu.

Katanya, pihak polis juga sedang giat memburu kesemua suspek yang dipercayai warga Indonesia berdasarkan dialek percakapan sebagaimana menurut laporan polis oleh mangsa.

"Kita masih lagi mencari dan menyiasat identiti kesemua suspek.

"Kita percaya kes ini pasti akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat setelah semua bukti berjaya dikumpul," katanya kepada pemberita di sini. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Watikah Kepimpinan Pelajar kepada 237 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Bidong di sini, Rabu.

Turut hadir Ketua Polis Daerah, DSP Rohaizat Abd Ani dan pengetua sekolah berkenaan, Sa'diah Morshidi.

Pada Isnin lalu seorang peniaga kerugian kira-kira RM80,000 termasuk tunai RM50,000 apabila rumah mereka di Kampung Gemuruh, Tepoh, di sini dipecah masuk empat lelaki yang bersenjatakan alat pemotong, parang dan kayu.

Dalam kejadian pukul 3.15 pagi itu, mangsa, Ali Omar, 60, isteri dan dua anaknya sedang nyenyak tidur sebelum rumah mereka diceroboh penjenayah berkenaan.

Empat lelaki bertopeng yang memecah masuk rumah pemilik kedai runcit dan kafe siber itu bertindak mengikat pasangan suami isteri itu serta dua anak yang berusia 34 dan 17 tahun menggunakan dawai dan tali nylon.

Mangsa berjaya melepaskan ikatan kira-kira sejam kemudian. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain