suria

Isu Tanah KHSB: Seorang Setiausaha Lagi Dipecat, Dua Pegawai Diberi Surat Tunjuk Sebab

PETALING JAYA: Seorang lagi setiausaha syarikat telah dipecat dan dua pegawai dikatakan diberikan surat tunjuk sebab oleh Kumpulan Hartanah Selangor Bhd (KHSB) berhubung kontroversi yang berterusan terhadap “kehilangan” sebidang tanah berkeluasan 234 hektar bernilai RM250 juta milik penuh syarikat KHSB.

Ia berlaku selepas KHSB memecat Maziyah Mohd Zin sebagai setiausaha syarikat itu tiga hari sebelumnya.

KHSB pada Isnin memberitahu Bursa Malaysia, Norlida Jamaludin turut dipecat sebagai setiausaha syarikat berkuat kuasa pada 17 Februari, sehari selepas Maziyah dibuang.

Bagaimanapun, sebab-sebab pemecatan mereka tidak dimaklumkan. KHSB pada Jumaat telah melantik Wong Wai Foong dan Lim Lee Kuang sebagai setiausaha bersama di syarikat itu.

Syarikat induknya, Kumpulan Perangsang Selangor Bhd juga telah memecat Maziyah sebagai setiausaha syarikat sehari lebih awal daripada KHSB.

KHSB berkata, Norlida mula berkhidmat dengan anak syarikat milik penuh KHSB, SAP Holdings Berhad pada tahun 1994 menjalankan tugas-tugas kesetiausahaan menjadi eksekutif secara kontrak dan kemudiannya dilantik sebagai pembantu setiausaha syarikat pada 1995.

Dia dilantik sebagai setiausaha kumpulan syarikat itu pada 1997 dan selepas itu menjadi menjadi ketua kumpulan jabatan perkhidmatan perundangan dan kesetiausahaan pada 2000. Pada Mac 2003, dia dilantik sebagai setiausaha syarikat bagi KHSB.

Akhbar The Star pada Rabu lalu telah membongkarkan tentang kehilangan tanah pegangan pajak berkeluasan 234 hektar di Gombak yang disita oleh kerajaan Selangor.

Dalam jawapan kepada pertanyaan daripada Bursa minggu lepas, KHSB telah mengesahkan bahawa syarikat itu telah kehilangan tanah yang dikenali sebagai H.S.(D) 20034, PT No. 26549, Mukim Batu, Daerah Gombak, Negeri Selangor.

Syarikat itu berkata, tanah itu dimiliki oleh SAP Holdings.

“Tanah tersebut telah disita oleh kerajaan Selangor pada 25 Ogos 2011,” kata KHSB dalam satu pengumumannya kepada Bursa.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain