suria

Parti Komponen BN Perlu Tingkatkan Kerjasama - Muhyiddin

BALIK PULAU: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) supaya meningkatkan kerjasama di antara parti komponen bagi membolehkan BN memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata perhubungan yang erat di antara pemimpin-pemimpin bahagian perlu diperkukuhkan bagi menjamin kemenangan parti itu pada pilihan raya yang akan datang.

"Atas kehendak Pengerusi BN (yang juga) Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), tiap-tiap perhubungan BN negeri ada KPI (Indeks Petunjuk Prestasi) mereka sendiri. Berapa sasarannya? Mana kawasannnya, baik Parlimen ataupun dewan undangan negeri yang kita harap boleh mendapat kemenangan.

"Ini (kemenangan) memerlukan kerjasama yang erat dan saya juga mengingatkan pentingnya kerjasama di antara komponen parti, kita tingkatkan dan perhubungan di antara pemimpin-pemimpin di dalam bahagian diperkukuhkan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Kenduri Rakyat 1Malaysia di Kampung Permatang Tepi, Simpang Empat di sini, Sabtu.

Mengulas persediaan BN Pulau Pinang dalam menghadapi PRU-13, Muhyiddin berkata pemimpin-pemimpin parti komponen BN negeri ini cukup bersemangat untuk bekerja lebih keras bagi memenangi seberapa banyak kerusi pada pilihanraya umum akan datang. Muhyiddin berkata pelbagai strategi telah diatur bagi menebus kekalahan parti itu pada pilihan raya umum ke-12 dan BN negeri telah mengenal pasti beberapa kawasan yang membolehkan parti itu memenangi kerusi pada PRU-13.

"Kita harap boleh meningkat bilangannya (bilangan kerusi). Berapa kita tidak akan beritahu. Kita sudah mengenal pasti di mana kawasan sama ada kerusi yang dipegang oleh pihak Umno yang kita jangka boleh meningkat bilangannya dan juga lain-lain komponen parti.

"Kita sudah kenal pasti di mana kawasan-kawasan yang dulu kita kalah mungkin dengan majoriti yang kecil, kita jangkakan kali ini sudah ada satu kesedaran baru kita harap kita boleh tebus kekalahan itu," katanya.

Muhyiddin berkata sokongan rakyat negeri ini pada kerajaan telah menunjukkan peningkatan dan yakin BN negeri mampu memenangi banyak kerusi pada PRU-13.

Terdahulu, beliau mengadakan tiga pertemuan tertutup iaitu dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman, Jawatankuasa Badan Perhubungan Umno negeri dan pemimpin-pemimpin BN negeri.

Beliau yang diiringi isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman berada di Pulau Pinang untuk lawatan kerja sehari. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain