suria

Mayat Penjaga Rumah Tumpangan Ditemui

KLANG: Mayat seorang penjaga sebuah rumah tumpangan yang dipercayai mati kira-kira tiga hari lepas, ditemui di premis berkenaan di Jalan Raja Bot di sini Khamis.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supritendan Mohd Shukor Sulong berkata, mayat lelaki itu yang dikenali sebagai Lian Pno Chuan, 55, ditemui dalam keadaan tertiarap dan sudah berbau dalam sebuah bilik.

"Lian yang alamat terakhirnya di Teluk Panglima Garang, Banting, dipercayai menghidap sakit jantung dan darah tinggi. Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu," katanya kepada pemberita.

Difahamkan Lian, yang masih bujang, telah bekerja di rumah tumpangan berkenaan sejak lima tahun lepas.

Mohd Shukor berkata, polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut dan mayat Lian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk dibedah siasat.

Adik si mati yang hanya dikenali sebagai Lian Tee, 46, berkata abangnya berada dalam keadaan sihat ketika kali terakhir mereka bertemu lima hari lepas.

Lian Tee berkata, beliau datang untuk menghantar kuih "cakoi" kepada abangnya pagi tadi namun apabila dipanggil tiada jawapan selain terhidu bau kurang menyenangkan.

Lian Tee memaklumkan perkara itu kepada abang iparnya yang kemudiannya menghubungi polis. - BERNAMA

Artikel Lain