suria

Polis Ambil Keterangan Azmin Ali Berhubung Perhimpunan 901

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali pada Rabu dipanggil polis bagi memberi keterangan di bawah Seksyen 41 (A) Akta Hasutan 1948 berhubung perhimpunan 9 Jan lepas.

Azmin tiba di Balai Polis Kepong di sini pukul 11 pagi dan turut ditemani peguamnya, N.Surendran.

"Saya dimaklumkan bahawa saya disiasat di bawah Akta Hasutan berdasarkan satu laporan polis yang dibuat Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan pada 30 Dis 2011," katanya kepada pemberita selepas memberikan keterangan itu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai gesaan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataan yang menyokong semua tindakan bagi menjaga keselamatan Israel, Azmin berkata perkara itu akan dijelaskan Anwar dalam masa terdekat.

"Anwar sendiri akan berjumpa dengan 'tuan guru', sekembalinya beliau dari lawatan luar negara, Rabu.

Beliau akan memberi penjelasan dan saya percaya perkara ini akan dapat diselesaikan demi kepentingan rakyat Palestin," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain