suria

Kejadian Letupan Bom Di Bangkok Bukan Serangan Pengganas

BANGKOK: Tiga kejadian letupan bom di Bangkok semalam bukan serangan pengganas, kata Timbalan Perdana Menteri Chumpol Silapaarcha pada Rabu.

"Saya dimaklumkan oleh polis pelancong bahawa mereka datang ke sini untuk membuat bom tetapi ia bukan bermakna serangan pengganas berlaku di Thailand," kata Chumpol yang juga Menteri Pelancongan dan Sukan.

Semua tiga kejadian letupan bom jelas menunjukkan bahawa ia bukan serangan pengganas, katanya kepada pemberita di sini.

Tiga letupan bom menggegarkan Bangkok semalam, termasuk satu kejadian di mana seorang rakyat Iran hilang kedua-dua belah kakinya apabila bom yang dibaling ke arah kereta peronda polis, melantun semula dan mengenainya di Jalan Sukhumvit 71, di sini. Letupan bom pertama berlaku di rumah yang disewa suspek berhampiran Jalan Sukhumvit 71 manakala kejadian kedua, suspek melempar sebutir bom ke arah sebuah teksi berhampiran jalan itu apabila teksi itu enggan mengambilnya dan dia kemudian melempar bom ketiga apabila kereta peronda polis menghalangnya di jalan itu.

Kejadian itu turut menyebabkan empat rakyat Thai cedera.

Polis kemudian menemui beberapa bom buatan sendiri di rumah yang disewa suspek.

Sehingga kini, polis telah menahan dua suspek rakyat Iran termasuk suspek yang cedera manakala dua lagi suspek rakyat Iran masih bebas termasuk seorang lelaki yang telah meninggalkan negara ini.

Kesemua mereka termasuk seorang suspek wanita menyewa rumah yang sama.

Mengenai pelancongan, Chumpol berkata buat masa ini kejadian itu tidak menjejaskan pelancongan negara ini.

Ini kerana pelancong telah membuat tempahan awal mereka, kata timbalan perdana menteri yang bimbang kejadian itu mungkin akan menjejaskan tempahan pelancong pada masa depan.

Gabenor Pihak Berkuasa Pelancongan Thai Suraphon Svetasreni berkata, pihak berkuasa mungkin perlu mengkaji semula pengeluaran visa semasa ketibaan untuk pelancong memandangkan isu keselamatan juga perlu diberi perhatian, walaupun pengeluaran visa itu baik untuk pelancongan.

Beliau berkata, 150,000 rakyat Iran melawat Thailand dalam tempoh 11 bulan lepas dan mereka biasanya datang antara bulan Mei dan Julai serta tinggal di sini lebih dari dua minggu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain