suria

Bantuan RM190,000 Kepada Bekas Banduan Mulakan Perniagaan

SEREMBAN: Seramai 38 bekas banduan dari penjara seluruh negara akan menerima bantuan berupa peralatan untuk memulakan perniagaan yang keseluruhannya berjumlah RM190,000.

Pengarah Institu Sosial Malaysia Profesor Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din berkata bantuan tersebut merupakan peruntukan di bawah program bantuan Kebajikan Masyarakat 1Malaysia (KAR1SMA) Teman 1AZAM Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, bertujuan membantu bekas banduan ini menjalani kehidupan yang lebih baik dan sempurna selepas tamat menjalani hukuman.

"Bantuan ini adalah julung kali kementerian bagi kepada bekas-bekas banduan untuk mereka memulakan perniagaan selaras dengan usaha kerajaan untuk membantu golongan miskin di negara ini.

"Ia juga bertujuan membantu bekas-bekas banduan ini berasa selesa untuk masuk semula ke dalam masyarakat dengan melakukan sesuatu yang baik untuk meningkatkan taraf hidup mereka iaitu dengan memulakan perniagaan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan KAR1SMA Teman 1Azam kepada 17 banduan, di sini, Selasa.

Mohamed Fadzil berkata, kementerian juga dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia akan membantu golongan ini termasuk memberi kaunseling dan kursus berkaitan agar mereka lebih bersedia untuk menjalani perniagaan sendiri. Katanya, bekas-bekas banduan ini juga akan diberikan pendedahan tentang pelbagai bentuk bantuan pinjaman kewangan daripada kerajaan dan agensi berkaitan yang boleh dimanfaatkan bagi meningkatkan atau mengembangkan perniagaan mereka nanti.

Sementara itu, seorang bekas banduan yang menerima bantuan tersebut Mohd Fauzi Ishak, 45, ketika ditemui berkata beliau amat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan bantuan bagi golongan sepertinya.

Beliau yang menerima peralatan berupa mesin jahit barangan kulit berkata, beliau akan menggunakan bantuan tersebut sebaik mungkin untuk menjana pendapatan dan meneruskan kehidupan yang lebih baik.

"Saya sangat-sangat berterima kasih atas bantuan ini dan saya akan cuba berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan perniagaan saya nanti akan berjaya," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain