suria

Mahkamah Tolak Permohonan PTPTN Batalkan Saman

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen pada Isnin menolak permohonan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) untuk membatalkan saman yang dikemukakan oleh seorang peminjam PTPTN.

Hakim Unaizah Mohd memutuskan plaintif mempunyai sebab untuk mengambil tindakan terhadap defendan (PTPTN) untuk saman itu dibicarakan.

Hakim menetapkan empat hari dari 9 April untuk mendengar kes itu.

Beliau juga menetapkan 5 Mac bagi pengurusan kes untuk kedua-dua pihak memperincikan dokumen mereka sebelum perbicaraan.

Plaintif dijadual memanggil dua saksi manakala defendan akan memanggil tiga saksi.

Pada 20 September tahun lepas, pegawai bank Mandeep Singh memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Sesyen Sivil terhadap PTPTN bagi memfitnah dan ditahan secara salah selepas beliau disenarai hitam atas dakwaan gagal melunaskan pinjaman pelajarannya.

Mandeep, 27, menuntut RM19,000 sebagai ganti rugi khas bagi tiket penerbangan dan tempahan hotel, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. Mandeep berkata di bawah perjanjian pinjaman pelajaran bertarikh 9 Nov 2006, PTPTN telah bersetuju meminjamkan RM48,000 kepadanya.

Beliau mendakwa beliau telah ditahan pegawai Imigresen di Terminal Penerbangan Tambang Murah di Sepang pada 6 Julai tahun lepas semasa beliau mahu berlepas untuk bercuti di Guangzhao, China.

Katanya beliau dimaklumkan oleh pegawai imigresen berkenaan yang namanya telah disenarai hitam dalam pangkalan data imigresen.

Bagaimanapun, beliau berkata PTPTN gagal memadamkan namanya daripada pangkalan data itu walaupun beliau telah memaklumkan kepada PTPTN untuk berbuat demikian.

Susulan kejadian itu, beliau mendakwa dirinya telah diaibkan di depan orang ramai dan mencemarkan imejnya.

Peguam Abdul Malik Hakim mewakili Mandeep manakala peguam Farhan Abdullah mewakili PTPTN. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain