suria

Pembangkang Buruk Sangka Terhadap Kerajaan: Pemuda Umno

KUALA LUMPUR: Tindakan beberapa pemimpin pakatan pembangkang menolak Skim Bantuan Projek Perumahan Rakyat-Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR-MTEN) dan perumahan awam di Kuala Lumpur disifatkan sebagai hanya buruk sangka terhadap kerajaan.

Anggota Exco Pergerakan Pemuda Umno, Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata tindakan tersebut juga sebagai menghina golongan berpendapatan rendah.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini pada Ahad, beliau berkata kenyataan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua yang mempertikaikan bantuan kerajaan itu, seperti menafikan hak golongan itu dibantu dan menerima bantuan.

"Golongan berpendapatan rendah mengalami kesukaran mendapat pinjaman daripada bank untuk membeli serta memiliki rumah, jika berjaya pun jumlahnya amat rendah.

"Kita seharusnya memikirkan satu mekanisme bagaimana pembeli golongan ini dapat menyelesaikan tunggakan bulanan supaya dapat memiliki rumah, bukannya menggagalkan skim bantuan pinjaman perumahan kepada golongan berpendapatan rendah," katanya.

Tengku Azman berkata ia satu penghinaan kepada rakyat seolah-olah golongan tersebut tidak layak untuk dibantu dan menerima bantuan.

Beliau yang juga Pengerusi Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) Pemuda Umno menasihatkan Nurul Izzah jangan terlalu berpolitik sebaliknya menyedari kawasan yang diwakilinya itu terdapat projek perumahan rakyat dan ramai golongan yang kurang berkemampuan untuk memiliki rumah.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain