suria

Malaysia Capai Nilai Dagangan RM1.2 Trilion

SEREMBAN: Malaysia mencapai jumlah nilai dagangan paling tinggi dengan 1.2 trilion tahun lalu sekaligus membuktikan kerajaaan Barisan Nasional mampu mentadbir ekonomi negara dengan baik kata Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

“Oleh kerana ekonomi negara kukuh, saya berasa yakin untuk memberi bantuan kepada rakyat sepertimana yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2012,” kata Perdana Menteri.

Najib berkata kerajaan sedang berusaha keras melaksanakan dasar-dasar yang telah dirancang sebelum ini. Tanpa perancangan yang baik, negara tidak boleh membangun kerana tidak cukup dana bagi membiayai agenda yang telah dirancang untuk membantu rakyat negara ini.

Beliau menegaskan Barisan Nasional bukan sebuah kerajaan yang membuat janji kosong kepada rakyat terutamanya ketika musim pilihan raya.

“kami tidak membuat janji kosong sebaliknya kami mengambil tanggungjawab untuk menjamin kebajikan rakyat,” katanya.

Perdana Menteri berkata jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia merupakan antara yang tertinggi di dunia.

Beliau berkata KDNK Malaysia yang dicatatkan ialah RM560 bilion berbanding jumlah nilai KDNK tahun lalu.

Najib menegaskan kerajaan tidak perlu membuat pinjaman daripada Bank Dunia atau Tabung Kewangan Antarabangsa untuk mengagihkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) seperti yang didakwa pembangkang.

“Dakwaan pembangkang, terhadap kerajaan adalah satu fitnah, cerita dongeng dan tuduhan palsu,” katanya ketika menyampaikan rumah mampu milik kepada 99 keluarga di Kampung Abok pada Jumaat.

Keluarga berkenaan merupakan mereka yang dipindahkan untuk membina projek Lebuh Raya Tengah di Seremban.

Projek perumahan tersebut dibina oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dengan kos RM19.8 bilion dan RM10 bilion daripadanya dibiayai oleh kerajaan Persekutuan.

Terdahulu Najib mengunjungi Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti.

Beliau turut menghadiri majlis makan tengah hari secara tertutup bersama pemimpin Barisan Nasional di Negeri Sembilan selepas solat Jumaat di Masjid Sikamat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain