Bahan Kimia Dalam Gas Pemedih Mata Tidak Dikesan Pada Baharuddin - Semasa | mStar

Bahan Kimia Dalam Gas Pemedih Mata Tidak Dikesan Pada Baharuddin

KUALA LUMPUR: Bahan kimia yang digunakan dalam gas pemedih mata tidak dikesan pada badan dan pakaian pemandu teksi Baharudin Ahmad, yang meninggal dunia ketika menyertai perhimpunan haram 9 Julai tahun lepas, Mahkamah Koroner diberitahu pada Jumaat.

Ahli kimia Dr Mohd Sukri Hassan, 50, berkata bahan kimia iaitu CS (2-chlorobenzylidene malononitrile) tidak dikesan selepas beliau membuat analisis terhadap beberapa spesimen termasuk palitan yang diambil pada tangan Baharudin, mata, darah, kandungan perut dan pakaiannya secara berperingkat selama dua minggu bermula 13 Julai 2011.

Dr Mohd Sukri yang bertugas di Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya, selama 24 tahun, berkata beliau turut menemui dua jenis dadah iaitu 'diphenhydramine' dan 'chlorpheniramine' pada spesimen air kencing dan jus hempedu Baharudin, sambil berkata kebiasaannya kedua-dua dadah itu terdapat dalam ubat batuk.

Saksi ke-18 itu turut memaklumkan beliau dibantu beberapa anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) untuk membuat stimulasi bagi mengesan CS yang digunakan dalam gas pemedih mata pada air mata, tangan, kulit dan pakaian anggota berkenaan.

"Stimulasi itu dibuat di padang sasar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jugra, Banting, pada 21 Julai tahun lepas dengan dua jenis gas pemedih mata diletupkan ke arah anggota FRU berkenaan. "Hasil analisis mendapati CS tidak dapat dikesan kerana bahan kimia itu mudah hilang dan meruap sama ada diuji pada hari yang sama atau selepas enam jam," katanya ketika disoal peguam Ahmad Jufliz Faiza yang mewakili keluarga Allahyarham.

Ditanya Ahmad Jufliz adakah spesimen yang diambil daripada Baharudin tidak dapat dikesan kerana CS diterima selepas dua hari kejadian berlaku, Dr Mohd Sukri berkata: "Terdapat dua kemungkinan, sama ada CS itu telah meruap ataupun memang tiada CS".

Terdahulu, Dr Mohd Sukri memaklumkan beliau menerima dua beg spesimen daripada Konstabel Mohd Hafiz Ahmad pada 11 Julai tahun lepas dan menyimpannya dalam bilik sejuk yang berkunci di Jabatan Kimia.

"Satu beg mengandungi spesimen darah, air kencing, jus hempedu, kandungan perut si mati manakala satu beg lagi mengandungi baju-T berwarna putih, seluar panjang berwarna kelabu dan seluar dalam.

"Spesimen berkenaan sentiasa disimpan di bilik sejuk berkunci dan hanya pegawai-pegawai tertentu sahaja dibenarkan untuk akses bilik berkenaan kerana kunci bilik itu dipegang oleh ketua seksyen," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh semasa pemeriksaan utama. Dr Mohd Sukri berkata tiada kemungkinan spesimen itu akan bercampur dengan eksibit lain kerana setiap barang kes mempunyai pelekat makmal dan nombor rujukan berlainan.

Sementara itu, Koperal Sainan Wahab, 48, jurugambar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, memberitahu mahkamah bahawa beliau mengambil 16 keping gambar di pusat beli-belah Avenue K dan sekitar KLCC pada 15 Julai tahun lepas berdasarkan arahan pegawai penyiasat Sarjan Razali Mahmood.

Inkues yang didengar di hadapan Koroner Zulkpli Abdullah bersambung 20 Mac ini. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

Artikel Lain