Enam Bersaudara Sesat Di Hutan Rekreasi Gunung Pulai - Semasa | mStar

Enam Bersaudara Sesat Di Hutan Rekreasi Gunung Pulai

JOHOR BAHARU: Enam bersaudara tersesat hampir empat jam di Hutan Rekreasi Gunung Pulai petang semalam ketika berlatih bagi satu pertandingan renang di sini bulan ini.

Mangsa, Gan Kock Kiong, 42, bersama tiga anaknya, Gan Jie En, 16, Gan Jie Ying, 12, dan Gan Hong Jun, 10, serta dua anak sAudaranya Gan Kai Boon, 15, dan Gan Kai Qi, 9, tersesat kira-kira pukul 5.30 petang apabila tidak menggunakan laluan biasa.

Mereka telah menggunakan laluan yang lebih sukar dengan harapan akan dapat meningkatkan stamina sebagai persiapan menyertai pertandingan renang itu. Mujur pada masa itu, Kock Kiong ada membawa telefon bimbit dan menghubungi talian kecemasan hutan rekreasi itu.

"Mangsa yang berasal dari Taman Adda Height Johor Baharu ditemui pasukan penyelamat kira-kira 700 meter dari laluan utama dan kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serius," kata Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Supt Zulkefly Yahya di sini, Selasa.

Pasukan mencari terdiri daripada polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berjaya mengeluarkan kesemua mangsa dari hutan tersebut pada 11.30 malam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan