suria

Tiga Nelayan Bot Karam Ditemui Selamat

ALOR SETAR: Tiga nelayan yang terlibat dalam kejadian bot karam di perairan Pulau Payar, Langkawi dua hari lepas ditemui selamat oleh nelayan tempatan yang melalui kawasan itu kira-kira pukul 10.20 pagi Sabtu.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Utara Langkawi Laksamana Pertama Maritim Tan Kok Wee berkata pihaknya menerima laporan daripada Balai Polis Kuala Kedah kira-kira pukul 3 petang Jumaat yang menyatakan sebuah bot kelas B bernombor pendaftaran KF 2347 disyaki tenggelam di perairan Pulau Payar kira-kira pukul 2 pagi.

"Bertindak atas maklumat, operasi mencari dan menyelamat telah dijalankan dengan menggunakan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) iaitu bot penyelamat 5 dari Langkawi dan Kilat 29 dari Pangkalan Kuala Kedah," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.

Beliau berkata semalam, pihaknya menerima maklumat bahawa mangsa telah ditemui oleh nelayan tempatan yang melalui kawasan itu iaitu pada kedudukan 18 batu nautika Barat Daya Pulau Payar.

"Mereka ialah Chin Chin (tekong), 50, Sapuri Mar, 37, dan Amirul Anuar Fadzullah, 19. Ketiga-tiga mangsa dibawa ke Jeti Kuala Kedah sebelum dibawa ke hospital," katanya.

Tan menasihatkan nelayan terutama nelayan bot kecil supaya lebih berhati-hati kerana keadaan cuaca yang tidak menentu dan perlu sentiasa memakai jaket keselamatan untuk menjamin keselamatan di laut. - BERNAMA

Artikel Lain