suria

Perak Semak Semula Isu Permohonan Tanah Pertanian Dibangkitkan MCA:Chua

IPOH: Kerajaan negeri Perak akan menyemak semula isu permohonan tanah pertanian di negeri itu yang didakwa mempunyai masalah daripada segi tempoh pajakan dan kelewatan pemprosesan hak milik sepertimana pernah dibangkitkan oleh MCA, kata Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Beliau berkata kurniaan hak milik tanah pertanian yang dibuat melalui agensi kerajaan negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan tempoh pajakan 30 tahun menimbulkan kesukaran untuk mendapatkan pinjaman bank turut dikemukakan kepada kerajaan negeri.

Dr Chua mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kerana menubuhkan jawatankuasa khas dipengerusikan Exco kerajaan negeri Datuk Dr Mah Hang Soon untuk menangani isu permohonan tanah pertanian yang boleh dikatakan telah tertunggak begitu lama.

"Hampir 3,200 hektar dengan melibatkan 1,680 petani kini dalam proses peringkat akhir untuk diluluskan manakala 2,000 permohonan yang mengambil masa sejak zaman dahulu, kami yakin isu ini juga akan dapat diselesaikan oleh Zambry," katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Katanya pelbagai isu tanah telah dibincangkan bersama-sama Menteri Besar antaranya cadangan tempoh pajakan tanah 30 tahun dilanjutkan kepada 60 tahun supaya petani boleh mendapatkan pinjaman munasabah daripada pihak bank memandangkan pertanian di Perak menggunakan teknologi tinggi.

"Penggunaan teknologi tinggi adalah petanda baik dalam sektor pertanian dan penternakan yang menjadi industri penting untuk Perak kerana mempunyai nilai eksport tinggi seperti ikan hiasan dan buah-buahan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Chua berkata daripada sumber yang boleh dipercayai, pembangkang didapati menjalankan kempen politik di peringkat akar umbi masyarakat Cina kononnya jika pakatan pembangkang mentadbir Perak, orang Cina akan menjadi "taiko" (ketua).

Oleh yang demikian beliau mengingatkan masyarakat Cina di Perak supaya tidak tertipu dengan kempen pembangkang itu kerana ia adalah satu pembohongan.

"Ini adalah pembohongan besar kerana jika dilihat sebelum ini walaupun pakatan pembangkang memenangi pilihan raya umum, yang menjadi ketua bukan daripada kaum Tionghoa tetapi dari PAS," katanya.

Terdahulu, Dr Chua mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina MCA Perak di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chuk Choy di sini. - BERNAMA

Artikel Lain