Tiga Maut Dalam Kemalangan Dua Buah Kereta Di Nilai - Semasa | mStar

Tiga Maut Dalam Kemalangan Dua Buah Kereta Di Nilai

NILAI: Tiga orang, termasuk sepasang suami isteri, terbunuh dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Mantin-Beranang, di sini Selasa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, kereta jenis Toyota Vios yang dinaiki pasangan suami isteri itu bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Saga yang datang dari arah bertentangan.

Mangsa yang maut ialah penumpang belakang kereta Toyota Vios iaitu Lim Fong Len, 74, dan isterinya, Chong Yoon Ying, 57, yang berasal dari Mantin, di sini serta pemandu Proton Saga, Tee Chan Hen, 23, yang berasal dari Seri Kembangan, Selangor.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Yusoff Awang berkata Chong meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Mantin manakala Lim maut semasa dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban.

Katanya pasangan suami isteri itu dan pemandu kereta Proton Saga tersebut meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Beliau berkata tiga lagi mangsa dalam kereta Toyota Vios tersebut iaitu pemandu yang berusia 37 tahun dan isterinya berusia 40-an serta anak saudara perempuan mereka berusia tiga tahun dilaporkan parah dan dirawat di HTJ.

"Ketika kejadian, lima beranak yang menaiki kereta Toyota Vios tersebut dalam perjalanan menghala ke Beranang manakala kereta Proton Saga menghala ke Mantin," katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kereta Proton Saga terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Toyota Vios.

Bagaimanapun Mohd Yusoff berkata punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. Semua mayat dibawa HTJ untuk bedah siasat sebelum diserah kepada keluarga masing-masing.

Seorang saksi Zakaria Mohd. Kadir, 23, yang berada berhampiran tempat kejadian sewaktu kemalangan itu, berkata dia bersama tiga lagi rakannya sedang menjalankan kerja-kerja membaiki paip bocor di tepi jalan itu sebelum terdengar bunyi letupan kuat.

Dia bersama rakannya yang terkejut kemudiannya melihat dua buah kereta berada dalam keadaan remuk selepas bertembung antara satu sama lain, kira-kira 20 meter dari tempat dia berada.

"Saya bersama rakan yang lain terus berkejar ke arah kereta terbabit dan cuba membantu mengeluarkan penumpang dari dalam kereta Toyota Vios dan beberapa penumpang dalam kereta itu sedang mengerang kesakitan.

"Pemandu kereta Proton Saga itu pula saya lihat sudah tidak bernyawa dan tersepit dalam kenderaannya yang remuk," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

3 Lemas Di Pantai Kota Tinggi

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Mayat Nora Anne sudah dituntut