suria

Polis Sedia Timbang Hukuman Penjara Mandatori Bagi Pemandu Berbahaya

KUANTAN: Polis Diraja Malaysia sedia mempertimbangkan cadangan untuk mengenakan hukuman penjara mandatori ke atas pemandu yang menyebabkan kemalangan maut.

Namun, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Salleh Mat Rasid berkata, saranan itu harus diperhalusi terlebih dahulu bagi memastikan keberkesanannya.

"Jika hukuman penjara mandatori ke atas mereka (pesalah) boleh menyedarkan orang lain daripada melakukan perkara yang sama, kenapa tidak kita lakukan," katanya kepada pemberita selepas mengetuai Ops Sikap ke-25 peringkat negeri Pahang di Km 25 Jalan Kuantan-Gambang, di sini, Selasa.

Hukuman itu juga katanya telah diperuntukkan ke atas pemandu yang disabitkan kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kemalangan maut.

Beliau mengulas pandangan Anggota Majlis Keselamatan Jalan Raya Tan Sri Lee Lam Thye pada Ahad lepas, yang menyarankan agar pihak berkuasa mengenakan hukuman penjara mandatori terhadap mereka yang memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan maut.

Sementara itu mengenai Ops Sikap kali ini, Salleh berkata setakat ini sebanyak 152,356 saman dikeluarkan, iaitu peningkatan 63 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau berkata sepanjang tempoh lapan hari itu juga, sebanyak 82 kemalangan maut dicatatkan dengan 93 kematian dan daripada jumlah 48 adalah penunggang motosikal.

"Secara keseluruhan, operasi kali ini adalah positif, di mana berlaku penurunan kes kemalangan maut berbanding tahun lepas untuk tempoh yang sama iaitu sebanyak 94 orang.

"Manakala saman kita keluarkan adalah tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas kerana untuk operasi kali ini kita lebih mengutamakan aspek penguatkuasaan supaya pengguna jalan raya sentiasa mematuhi had laju yang dibenarkan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

12 NGO Puas Hati Penjelasan NFC

Artikel Lain