suria

Mayat Bayi Ditemui Di Tapak Pelupusan Sampah Di Sabah

KOTA KINABALU: Mayat bayi yang masih bertali pusat ditemui dalam bungkusan baju buruk di dalam plastik sampah di tapak pelupusan sampah Kayu Madang, Telipok di sini, Jumaat.

Mayat bayi yang belum dikenalpasti jantinanya itu ditemui oleh sekumpulan pemungut sampah pada pukul 9.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Ahmad Sofi Zakaria ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu. Beliau berkata berdasarkan keadaan mayat, bayi itu dipercayai dilahirkan empat hari lepas.

Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Queen Elizabeth di sini untuk bedah siasat.

Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain