suria

JPJ Diarah Perketat Pemeriksaan Ke Atas Pengangkutan Awam

LUMUT: Kementerian Pengangkutan telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya memperketatkan pemeriksaan ke atas pengangkutan awam termasuk kenderaan berat sempena musim perayaan Tahun Baru Cina.

Sehubungan itu Menterinya Datuk Seri Kong Cho Ha berkata kira-kira 3,000 anggota JPJ di seluruh negara akan menjalankan pemantauan termasuk bekerjasama dengan pihak polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk melakukan pemeriksaan air kencing terhadap pemandu bas dan kenderaan berat bagi memastikan mereka bebas daripada penyalahgunaan dadah.

"Saya turut mengarahkan mereka (JPJ) untuk meneruskan pendekatan dengan mengunakan anggota berpakaian biasa menyamar sebagai penumpang biasa di dalam bas ekspres.

"Pemandu bas yang melakukan sebarang kesalahan atau melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan tegas sebaik sahaja bas tersebut sampai ke destinasi masing-masing," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian cek peruntukan untuk kawasan Parlimen Lumut di sini, Jumaat.

Kong turut melahirkan rasa kecewa berikutan kadar kematian dan kemalangan yang direkodkan pada Ops Sikap ke-25.

Seramai 47 orang pengguna jalan raya dilaporkan terkorban sejak Ops tersebut dilancarkan Isnin lepas, sempena perayaan Tahun Baru Cina.

"Pada hari pertama sahaja, seramai 17 orang telah meninggal dunia, pada 17 Jan (sembilan orang), 18 Jan (13 orang) dan semalam (lapan orang).

"Apa yang lebih mendukacitakan, penumpang bas juga turut terkorban dalam beberapa kejadian kemalangan," katanya.

Beliau merasa bimbang orang ramai yang menggunakan pengangkutan awam sempena cuti perayaan akan hilang keyakinan terhadap pengangkutan itu berikutan kemalangan yang turut melibatkan bas ekspres. - BERNAMA

Artikel Lain