suria

Kehilangan 23 Tan Metrik Gula: Polis Tahan Tujuh Lelaki

PETALING JAYA: Polis menahan tujuh lelaki, termasuk seorang pengawal keselamatan dan pemandu lori sebuah kilang gula berhubung kehilangan 23 tan metrik gula di Shah Alam, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Superitendan Yahaya Ramli berkata, empat pekerja kilang yang dipercayai "orang dalam" membawa keluar gula tersebut, turut ditahan polis dalam tangkapan pada 16 Januari itu.

"Hasil siasatan seterusnya membawa polis ke sebuah gudang persendirian di Telok Panglima Garang, Kuala Langat sebelum menahan pemilik gudang itu pada 17 Januari serta menemui tiga lagi tan metrik gula di gudang tersebut," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Yahaya berkata, kesemua mereka berumur 23 hingga 34 tahun direman selama empat hari bermula semalam.

Beliau berkata, kehilangan gula itu di stor penyimpanan gudang terbabit disedari seorang pengurus sumber manusia di kilang itu sebelum membuat laporan polis.

Yahaya berkata, hasil siasatan ke atas kesemua lelaki yang dikenali sebagai "Geng Semut" itu mendapati salah seorang daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau berhubung kes curi dan narkotik. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan (curi oleh orang gaji) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan gula yang dibawa keluar tersebut sudah mempunyai pembeli dan dipercayai untuk dipasarkan sempena perayaan Tahun Baru Cina.

"Kita percaya gula ini dibawa keluar pada waktu malam selepas kilang sudah tamat beroperasi dan berkemungkinan ia untuk dipasarkan kepada orang tengah berdasarkan siasatan kita," katanya.

Katanya, polis juga percaya gula tersebut dibawa keluar menggunakan lori persendirian hasil bantuan orang dalam kerana tiada kesan-kesan pencerobohan yang ditemui. Kerugian dianggarkan kira-kira RM60,000, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain