suria

Penerbangan Terus KLIA-Sandakan Disambung Semula 18 Februari

KUALA LUMPUR: Penerbangan terus antara Sandakan dan Kuala Lumpur dijangka disambung semula pada 18 Feb.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, langkah itu bermakna kekerapan penerbangan terus antara Sandakan ke Terminal Utama Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) akan berjumlah 11 kali seminggu.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan pengurusan kanan Malaysia Airlines untuk membincangkan pelbagai perkara berkaitan operasi syarikat penerbangan itu termasuk beberapa perkara yang melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak.

"Antara perkara dibincangkan termasuklah menyambung semula penerbangan terus antara Sandakan dan Kuala Lumpur setelah mengambil kira kewujudan permintaan yang sedia ada dan semakin meningkat bagi perkhidmatan penerbangan terus bertaraf 'premium' untuk menghubungkan Sandakan dengan terminal utama KLIA," menurut kenyataan itu.

Sandakan ialah bandar kedua terbesar di Sabah.

Malaysia Airlines dijangka mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu dalam masa terdekat, menurut Pejabat Perdana Menteri.

"Perdana Menteri mengalu-alukan langkah Malaysia Airlines yang telah mengambil kira permintaan pengguna di Sabah, khususnya penduduk Sandakan," menurut kenyataan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain