suria

Hanya Yang Terbaik Akan Menang

KUALA LUMPUR: Apabila ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bukan sahaja membuktikan sistem kehakiman negara adalah bebas tetapi ia juga membuktikan parti pemerintah tidak menggunakan taktik licik untuk meletakkan pembangkang pada kedudukan yang tidak menguntungkan.

Dalam keputusannya, Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan Anwar atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Beberapa penganalisis politik menjelaskan pakatan pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS kini tidak boleh mendakwa bahawa mereka berada pada kedudukan yang tidak menguntungkan memandangkan pemimpin mereka kini bebas daripada dakwaan meliwat dan mereka kini boleh bertanding secara adil atau berdasarkan merit.

"Pembangkang tidak boleh terus menuduh sistem kehakiman tidak bebas. Mulai sekarang, mereka perlu memenangi undi berdasarkan prestasi daripada bergantung kepada undi simpati. Mereka perlu bertanding secara adil," kata penganalisis politik yang berpangkalan di Pulau Pinang, Datuk Cheah See Kian.

Walaupun terdapat hujah bahawa keputusan mahkamah tidak akan mengubah persepsi penyokong tegar dari kedua-dua parti, bagaimanapun sesetengah orang percaya ia mungkin mengubah persepsi pengundi atas pagar.

"Penyokong tegar BN dan pakatan pembangkang tidak akan terjejas tetapi pengundi atas pagar akan menerima kenyataan bahawa mahkamah tidak berat sebelah," kata Setiausaha Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Abdul Rahman dalam twitter.

"Ini merupakan peluang bagi rakyat Malaysia untuk menekan butang set semula. Kini kita berjuang untuk Putrajaya berdasarkan merit. Buku Jingga menentang Program Transformasi Ekonomi (ETP)? Program Transformasi Kerajaan (GTP)? Program Transformasi Politik (PTP)? Hanya yang terbaik akan menang," katanya.

Bagaimanapun, ada pemimpin pembangkang percaya penghakiman itu akan menyebelahi mereka.

"Sebenarnya, jika kita tangani dengan betul, mood baru boleh diterjemahkan dalam undi. Kita boleh kata, kita dibersihkan oleh mahkamah. Perjuangan bagi undi Melayu masih berkisar atas soal moral. Oleh itu, (keputusan) penghakiman boleh menjadi sesuatu yang positif untuk pakatan pembangkang," kata anggota jawatankuasa Pas Pusat Datuk Kamaruddin Jaafar.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan, satu perkara yang perlu dilakukan pakatan sekarang ialah bagaimana untuk mendorong strategi yang telah diletakkan dalam kedudukan maksimum.

Bagaimanapun, bagi ahli strategi pilihan raya DAP Liew Chin Tong, beliau percaya dengan Anwar tidak didapati bersalah, peluang pengundi atas pagar mengundi menentang BN atas rasa simpati dan marah mungkin berkurangan tetapi keputusan itu tetap kekal sebagai pembakar semangat utama bagi pakatan pembangkang.

"Ia boleh berfungsi dua cara. Kami menganggarkan terdapat kira-kira 15 peratus pengundi atas pagar di kalangan pengundi Melayu. Dengan keputusan itu, mereka mungkin cenderung mengundi BN," katanya ketika dihubungi.

Oleh itu, beliau berhujah bahawa perhatian sekarang perlu ditumpukan kepada isu-isu lain seperti polisi ekonomi sebagai sebahagian daripada strategi kempen untuk menarik pengundi ini.

Beliau berkata semasa program pemukiman pakatan pembangkang PKR-DAP-PAS di Alor Setar hujung minggu ini, mereka mungkin menyentuh perkara ini dalam usaha untuk memperbaiki strategi mereka berikutan keputusan hari ini terhadap Anwar.

Timbalan Presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn hari ini meminta pemimpin pakatan pembangkang PKR-DAP-PAS untuk memohon maaf dengan rakyat Malaysia atas semua tuduhan liar dan tidak berasas yang dibuat terhadap sistem kehakiman dan kerajaan berhubung perbicaraan kes liwat Anwar.

"Adalah adil jika mereka memohon maaf dengan rakyat Malaysia kerana sejak tiga tahun lepas, mereka membuat tuduhan liar, palsu dan tidak berasas terhadap sistem kehakiman dan kerajaan kerana memanipulasi proses kehakiman, mereka-reka dakwaan ini dan mahu menamatkan karier Anwar.

"Pembebasan ini menyangkal tuduhan terhadap kerajaan dan pemimpin pakatan pembangkang perlu mempunyai keberanian untuk memohon maaf," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Chang, yang juga pengerusi biro Undang-undang dan Hak Asasi Gerakan Pusat berkata keputusan Mahkamah Tinggi untuk melepaskan dan membebaskan Anwar menunjukkan sistem kehakiman negara adalah bebas dan bukan seperti yang sering didakwa pemimpin pakatan pembangkang.

"Saya percaya rakyat Malaysia sudah cukup matang daripada terpengaruh dengan dakyah propaganda pakatan pembangkang, dan tidak akan terpengaruh dengan dakwaan tidak berasas mereka terhadap kerajaan. Keputusan ini menunjukkan bahawa institusi kerajaan adalah utuh dan demokrasi masih berfungsi di Malaysia," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain