suria

Budak Perempuan Rentung Dalam Kebakaran Di Beluran

BELURAN: Hasrat seorang budak perempuan berusia lima tahun untuk memulakan kelas tadika pertamanya tidak kesampaian apabila dia mati rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Jalan Sungai Suraoun Kampung Kuala Sapi dekat sini Isnin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, Eve Yuna Eldy terperangkap di bilik tidurnya, manakala ibu, bapa, dua adiknya serta datuk dan neneknya terselamat.

Datuk mangsa, Ankang Kongkod, 63, berkata segala peralatan persekolahan cucunya itu sudah lengkap disediakan dan dia tidak sabar untuk memulakan persekolahan tadikanya yang sepatutnya bermula Selasa.

Bercakap kepada pemberita di lokasi kejadian pada Selasa, Ankang berkata, pada malam kejadian itu dia bersama enam lagi ahli keluarga yang lain sedang menikmati jamuan makan malam di dapur tingkat bawah rumah.

Beliau berkata mereka tiba-tiba terdengar satu letupan dipercayai daripada lampu yang dipasang menggunakan set janakuasa disebabkan rumah mereka tidak mempunyai bekalan elektrik.

Katanya api kemudian merebak dengan cepat menyebabkan mereka gagal menyelamatkan mangsa yang tidur di bilik atas.

Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Sandakan, Alias Abu berkata sebuah jentera dan sebuah kenderaan pacuan empat roda bersama enam anggota dihantar ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.42 malam.

Katanya lokasi kejadian yang agak jauh menyebabkan bomba hanya tiba di kawasan berkenaan pada pukul 11.25 malam.

Menurutnya setibanya di lokasi kejadian, api sudah memusnahkan tingkat atas rumah tersebut.

Beliau berkata mayat mangsa yang rentung ditemui di bawah rangka rumah yang terbakar itu. - BERNAMA

Artikel Lain