suria

Keluarga Mati Dipukul Benda Tumpul:Pakar Bedah

SIBU: Bedah siasat ke atas keluarga kes bunuh di Jalan RTM Isnin lepas menunjukkan keempat-empat mereka mati kerana luka parah di kepala akibat dipukul benda tumpul. Pakar bedah Hospital Besar Sarawak, Dr.Jamil Dolkadir melakukan bedah siasat itu dari 8 hingga 11 pagi.

Keempat-empat mangsa ialah ahli perniagaan kayu dan perkapalan Ling Tong Hock, 36, dua anaknya David, 10, dan Amy, tujuh tahun, serta emak mendiang, Leong Nyuk Lan, 76.

Dua orang dewasa yang mati itu mengalami cedera luka ditetak di tangan dan leher mereka, kata Dr Jamil.

Kesemua mereka dibunuh kejam diserang sama ada di bilik tetamu, dapur dan bilik tidur rumah mereka oleh orang yang tidak diketahui antara 7 hingga 7.30 pagi hari tersebut. Isteri kepada Ling, Li Xiao Lan, 28, seorang warga China lari ke rumah jiran dengan memboloskan dirinya menerusi tingkap bilik tidur di bahagian atas.

Pada Rabu, polis mendapatkan perintah mahkamah menahan reman wanita itu selama semingu sehingga 11 Jan untuk membantu siasatan.

Polis telah membebaskan seorang lelaki berusia 48 tahun yang mereka tahan awal pada Khamis berhubung kes berkenaan.

"Lelaki itu adalah jiran kepada mangsa, dibebaskan tengahari tadi selepas siasatan mendapati dia tidak terlibat," kata Ketua Polis Sibu ACP Shafie Ismail semasa dihubungi untuk mengetahui perkembangan terakhir kes. Seorang yang terselamat dalam kejadian itu, Kelvin, lapan tahun, yang mengalami luka ditetak di bahagian belakang dan lehernya kini dirawat di unit Rawatan Rapi (ICU) hospital yang sama.

Satu pasukan pakar bedah daripada Bahagian Forensik Bukit Aman diketuai ACP Liaw Kam Soon masih berada di sini bagi membantu pasukan polis tempatan diketuai Ketua CID negeri SAC Zulkipli Hasan, menyiasat kes.

Menurut seorang anggota keluarga yang enggan memberi nama, kesemua mangsa yang mati akan dikebumikan di tanah perkuburan Cina Sungai Aup pada hari Sabtu ini. - BERNAMA

Artikel Lain