suria

Kelindan Didakwa Cederakan Warga Emas Guna Pam Minyak

KUALA LUMPUR: Seorang kelindan lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu terhadap pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang warga emas hingga mengakibatkan mangsa koma.

Mohd Rahim Kaznabar, 31, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Mahmud Abdullah.

Hakim Mahmud membenarkan Mohd Rahim diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 31 Jan ini bagi sebutan untuk melantik peguam.

Mohd Rahim didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Tan Chew Tai, 70, dengan menggunakan pam minyak untuk menyerang yang mungkin menyebabkan kematian mangsa di Stesen Minyak Esso Taman Maluri, Cheras, dekat sini pada 5 pagi 4 Dis 2011.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

Mohd Rahim juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan gagal menunjukkan kad pengenalan ketika diminta oleh seorang pegawai polis di hadapan Mahkamah Jalan Duta di sini pada 3.20 petang 20 Dis tahun lepas.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Ahmad Poad. - BERNAMA

Artikel Berikut

AirAsia X Tawar Tambang Murah

Artikel Lain