suria

IRDA, JPN Johor Kerjasama Lahir Pemimpin Masa Depan

JOHOR BAHARU: Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) berharap lebih ramai pemimpin termasuk Ketua Pegawai Eksekutif syarikat korporat dapat dilahirkan menerusi Program Majlis Pemimpin Muda Pelajar (JSLC).

Ketua Pembangunan Sosial IRDA Nor Hisham Hussein berkata selama dua tahun berturut-turut, IRDA telah menjalin kerjasama rapat dengan Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) untuk menjayakan JSLC.

"Kita (IRDA) ingin mencari keseimbangan, iaitu infrastruktur bertaraf dunia di Iskandar Malaysia akan turut diiringi dengan mindset rakyat yang juga bertaraf antarabangsa.

"Kita mahu melahirkan bakat kepimpinan yang amat diperlukan di Iskandar Malaysia," katanya selepas menghadiri majlis penyampaian watikah kepada 20 pelajar yang terpilih menganggotai JSLC di sini, Jumaat.

Nor Hisham berkata IRDA dan JPNJ akan meneruskan kerjasama bagi memastikan program JSLC dapat diteruskan bagi jangkamasa panjang untuk mencungkil lebih banyak bakat kepimpinan di kalangan pelajar-pelajar di Johor.

Beliau juga mahukan lebih banyak pembabitan daripada pihak swasta dalam program JSLC untuk memastikan ia lebih mampan bagi jangka panjang.

Ketua Unit Antarabangsa JPNJ Rosliza Rosli pula berkata pelajar JSLC terbabit telah diberikan latihan dalam pelbagai bidang termasuk kualiti kepimpinan, skil rundingan dan komunikasi.

Baru-baru ini, katanya, sebanyak 15 pelajar dalam program JSLC telah dihantar menjalani latihan kepimpinan selama 10 hari di Alpine School For Student Leadership di Australia.

Ini adalah kali pertama, katanya kerajaan Australia membuka Alpine School kepada pelajar-pelajar luar negara.

Salah seorang pelajar yang menganggotai JSLC Amira Aisyah Abdul Aziz dari Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Sultan Ibrahim, berkata latihan di Australia telah mendedahkannya kepada pelbagai skil kepimpinan.

"Kami didedahkan dengan pelbagai skil kepimpinan yang amat penting untuk diterapkan bagi membolehkan kami menjadi pemimpin pada masa depan. Latihan di Australia telah memberikan pengalaman berguna kepada kami pelajar," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Abdul Aziz Dipelawa Sertai PAS

Artikel Lain